FOLLOWERS

May 26, 2010

9.Pelajar Ugut Bunuh Guru

            Seorang bekas pelajar hari ini diperintahkan menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney, Melaka, selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengugut membunuh gurunya bulan lepas.
Majistret Juvana Suhaily Samsudin memerintahkan hukuman terhadap pesalah juvana berusia 17 tahun itu bermula hari ini dan turut memerintahkan ibu juvana tersebut dikenakan bon RM1,000 tanpa cagaran selama tiga tahun.
Beliau juga membenarkan ibunya melawat pesalah itu sebulan sekali di sekolah berkenaan.
"Anak kamu ini tidak berdisplin, mahkamah memerintahkan dia dihantar ke sekolah itu,” kata Suhaily kepada ibunya yang tidak menunjukkan reaksi semasa menjatuhkan hukuman.
Remaja itu didakwa mengugut dengan berkata: “Apa kata kalau aku hantar orang bunuh kamu?” kepada Rosli Abdul Aziz, 54, di tempat letak motosikal Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda di sini pada jam 8.30 pagi, 21 April lalu.
Pesalah juvana itu telah dibuang sekolah kerana masalah disiplin sebelum kejadian itu.

May 15, 2010

8.Happy Teachers Day


Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar guru.
Khususnya guru-guru SMKA Nurul Ittifaq.
Guru Pembina Negara Bangsa
Terima Kasih Cikgu,
Kami sayang cikgu..

May 6, 2010

5.Jawi Tulisan No.2 Di Dunia

Pelajar beragama Islam perlu menguasai tulisan jawi kerana ia merupakan tulisan nombor dua berpengaruh di dunia selepas rumi selain membantu mereka memahami al-Quran.
Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Fatah Abdullah berkata, langkah Kumpulan Utusan menerbitkan sisipan akhbar tulisan jawi dalam akhbar Utusan Malaysia perlu disokong bagi memastikan ia terus relevan dengan perkembangan semasa.
Sehubungan itu tegas beliau, tiada sebab jawi dikorbankan apabila rumi menjadi tulisan rasmi negara.
''Selain digunakan dalam al-Quran, kita patut berbangga kerana tulisan jawi diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pernah menjadi tulisan perdagangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
''Ketika itu pedagang Eropah dan China turut menggunakan tulisan jawi semasa menjalani urusan perdagangan dengan orang Melayu Melaka, India dan juga negara-negara dari benua Afrika dan Semenanjung Arab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat program Koperasi Sekolah 2010 di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 100 guru dan guru besar daerah Temerloh, Maran dan Bera diberi penerangan mengenai konsep koperasi serta program sempena Hari Koperasi Sekolah pada 27 Jun hingga 3 Julai ini.
Sehubungan itu kata beliau, Angkasa menyokong usaha Kementerian Pelajaran membenarkan koperasi sekolah menjual akhbar tersebut di semua sekolah di seluruh negara.
Sementara itu Penolong Pengarah (Bahagian Seni, Sukan dan Kokurikulum Sekolah), Kamaruddin Ismail berkata, sebanyak 1,821 koperasi sekolah yang berada di bawah naungan Angkasa kini menjual akhbar Utusan Malaysia.
Menurut beliau, akhbar itu dijual pada harga istimewa di kedai koperasi di bawah program Akhbar@Sekolah.
Selain terdapat sisipan jawi katanya, banyak bahan yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia dapat membantu guru sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) seperti sisipan pendidikan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP).
''Malah, ADaP dapat dimanfaatkan oleh pelajar sebagai persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.
"Sebab itu Kementerian Pelajaran memberikan kebenaran dan menyokong usaha koperasi sekolah menjual Utusan Malaysia kerana ia dilihat mampu meningkatkan keuntungan koperasi di samping meningkatkan pengetahuan pelajar," tambahnya.